KUCHING, Ahad - YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Jambatan Satok yang menjadi mercu tanda ikonik di bandaraya Kuching malam ini tadi.
Hadir sama, Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kanan Kerja Raya , Dato Sri Haji Fadillah Yusof, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi.
Selepas 17 tahun lenyap dari pandangan, Jambatan Gantung Satok kembali menjadi sebutan ramai berikutan reka bentuk jambatan ini sangat unik dan menarik.
Malah, jambatan itu sangat cantik pada waktu malam kerana ‘bermandikan’ lampu warna-warni.
Menyingkap sejarah jambatan pejalan kaki itu, ia dibina pada era pemerintahan Charles Vyner Brooke pada tahun 1920 dengan anggaran kos AS$52,000 dan siap sepenuhnya pada 1926.
Dalam pada itu, jambatan itu juga pernah menjadi ikon bandaraya Kuching sebelum ia ditutup kepada laluan ramai pada 1992 kerana terlampau usang dan tidak ekonomikal untuk dibaik pulih.
Pada 2004, kabel utama yang menampung jambatan telah putus menyebabkan ia runtuh ke dasar Sungai Sarawak. Bagaimanapun, rancangan pembinaan semula jambatan ikonik itu kemudian telah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak pada 2017 dan diseliakan oleh JKR.
Pembinaan bermula pada 19 September 2017 dan siap sepenuhnya pada 26 Mac lalu.
Projek replika jambatan sepanjang 213 meter dan lebar tiga meter itu diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Pembinaan jambatan dengan kos RM8.05 juta itu pasti menjadi mercu tanda ikonik di Kuching sekali gus menjadi daya tarikan pelancong kerana nilai sejarahnya yang tinggi.
Sumber dari : Sarawakku